Tuah yang bermuka dua

Sumber: Kosmo Online
ALOR STAR – Kucing mempunyai dua muka. Walaupun pelik bunyinya, itulah yang berlaku kepada anak kucing yang dipelihara Ruziana Mohd. Ibrahim, 37 apabila ia dilahirkan dengan mempunyai dua muka yang tetapi berkongsi satu kepala.
Anak kucing itu yang dilahirkan awal pagi kelmarin mempunyai dua mulut, empat mata dan dua hidung itu kelihatan seperti dua kepala yang bercantum menjadi satu.
Kata Ruziana, anak kucing betina itu yang diberikan nama ‘Tuah’ akan dipeliharanya dengan baik bagi membolehkan ia terus hidup.
“Tuah macam lemah sikit berbanding dua lagi adik-beradiknya yang lain, ia tidak dapat menyusu dengan ibunya, jadi saya beli susu kucing dan berikan dengan picagari,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Tambah beliau, ibu Tuah terpaksa dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan berdekatan memandangkan terdapat kesukaran untuk melahirkan anak ganjil itu.
“Mungkin kerana kepala anaknya terlalu besar, lepas disuntik baru ia dapat beranak,” jelasnya.
Jelas pemilik anak kucing itu lagi, ‘Tuah’ tidak akan dijual walaupun ditawarkan harga yang tinggi. Ini kerana mereka sekeluarga terlalu sayangkan anak kucing itu dan mahu melihat sendiri ia membesar.
“Walaupun kucing itu kurang sihat kerana tidak dapat menyusu dengan ibunya, kami akan berusaha membesarkan ‘Tuah’,” jelasnya ketika dihubungi KOSMO! semalam.
Kata anggota tentera itu, walaupun badan ‘Tuah’ tidak sihat dengan kepala lebih besar berbanding anak kucing lain, ia tetap lincah.
Beliau yang turut membela hampir 30 ekor kucing di halaman rumahnya akan memastikan ‘Tuah’ mendapat sepenuh perhatian.

Leave a Reply