Contohi Nabi Muhammad pimpin keluarga
Sumber: Utusan Malaysia Online
JOHOR BAHRU 7 Feb. - Golongan suami perlu memantapkan kualiti kepimpinan bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan sebagai ketua keluarga untuk melahirkan sebuah keluarga harmoni.
Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Johor (JAJ), Alina Wong Abdullah berkata, golongan itu perlu menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan.
Alina berkata, ia penting untuk membentuk keluarga sakinah iaitu yang penuh dengan kasih sayang, belas kasihan, kemesraan, tolak ansur dan kebahagiaan.
”Sebagai contoh, sekiranya suami mengabaikan peranan mereka dalam memberi nafkah sama ada nafkah zahir mahupun batin, maka ia sering membawa kepada perpecahan keluarga dan penceraian dalam rumahtangga.
”Sesetengah suami suka memandang ringan tentang perkara ini kerana sering bersikap sambil lewa,” katanya ketika memberi ceramah sempena Program Sakinah sempena sambutan Maal Hijrah 1429 yang diadakan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, di sini semalam.
Pada majlis anjuran JAJ dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim itu, hampir 1,000 para suami dari 119 buah agensi kerajaan seluruh negeri hadir.
Tambah beliau, dengan menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh maka golongan suami kini lebih memahami peranan dan tanggungjawab mereka serta mengikis sikap sambil lewa itu.
Katanya, kualiti kepimpinan itu bukan sahaja daripada sudut memberi nafkah tetapi juga aspek pengurusan kewangan, mendidik isteri dan anak-anak, keperluan sosial dan rohani serta hal ehwal rumah tangga lain.
Malahan, menurutnya, golongan lelaki sepatutnya lebih memahami tanggungjawab tersebut sebelum mendirikan rumah tangga.
”Cara sebegini sedikit sebanyak dapat mengurangkan jumlah krisis rumahtangga yang membawa kepada penceraian dan masalah-masalah yang lain,” jelasnya.

Leave a Reply